Datuk Seri Najib Tun Razak mahu siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden bot katamaran yang membawa 28 pelancong China dan tiga kru karam di perairan Sabah.

Perdana Menteri menegaskan buat masa ini tumpuan sepenuhnya harus diberi kepada usaha mencari dan menyelamat enam lagi mangsa yang masih hilang.

"Saya pandang serius tragedi bot karam di Sabah, dan saya mahu siasatan terperinci dilaksanakan untuk kenal pasti punca kejadian," katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitter.


Beliau seterusnya menggesa semua pihak untuk sentiasa mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan demi memastikan keselamatan.

Bot jenis katamaran yang membawa tiga anak kapal dan 28 pelancong dari China itu dilaporkan karam disebabkan angin kencang dan ombak besar pada Sabtu.

Ia ketika itu dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, destinasi pelancongan kira-kira 56km di barat laut Kota Kinabalu, selepas meninggalkan jeti Tanjung Aru di ibu negeri Sabah itu.

Semalam, 20 pelancong itu diselamatkan, tiga mati lemas manakakala tekong dan kru terselamat.

Operasi mencari dan menyelamat enam lagi mangsa diteruskan hari ini melibatkan badan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia, dengan dibantu dua aset dari negara jiran Brunei Darussalam.

-- BERNAMA