MALAYSIA
PM Pakistan Muhammad Shehbaz tiba di Malaysia untuk lawatan tiga hari

Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto ihsan PMO
SEPANG: Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Kedua-dua pemimpin akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Pakistan serta menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang.
- Lawatan ini dijangka meningkatkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara terutama dalam perdagangan, pelaburan, halal, pendidikan dan pertahanan.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu sebagai membalas lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024 dan Shehbaz diiringi menteri Kabinet, termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Mohammad Ishaq Dar.
Pemimpin Pakistan itu akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya esok diikuti mesyuarat dua hala bersama perdana menteri.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama antara Malaysia-Pakistan, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Selain itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan dan pembanterasan rasuah, perusahaan kecil dan sederhana, serta Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang latihan untuk diplomat.
Shehbaz turut akan menyampaikan naskhah dalam bahasa Urdu buku "SCRIPT: For a Better Malaysia" kepada Anwar.
Satu jamuan rasmi bagi meraikan Shehbaz turut akan diadakan di Kompleks Seri Perdana.
Kedua-dua perdana menteri juga dijadualkan menghadiri Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Pakistan-Malaysia.
"Lawatan ini dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama dalam bidang yang berkepentingan bersama," menurut kenyataan itu.
Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957. Hubungan dua hala itu telah ditingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik pada Mac 2019.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah RM8.07 bilion (USD1.76 bilion), meningkat 25.5 peratus berbanding 2023.
Antara barangan eksport utama Malaysia ialah minyak sawit, petroleum dan produk kimia manakala import dari Pakistan terdiri daripada hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut serta produk petroleum.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami