BERLIN: Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di Jerman.

Sumbangan yang disampaikan ialah 12 naskhah kitab suci al-Quran semasa Perdana Menteri menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Sehitlik, di sini, pada Selasa.

Kesemua 12 naskhah al-Quran berkenaan senaskhah cetakan khas, senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Jerman dan 10 naskhah terjemahan bahasa Inggeris.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri, ketibaan Anwar ke masjid tersebut disambut oleh Duta Besar Turki ke Jerman, Ahmet Başar Şen.

Anwar juga berkesempatan bertukar pandangan dengan komuniti Islam terkait isu-isu umat Islam di Jerman serta konflik di Palestin.

“Kami turut membincangkan soal pembangunan umat Islam di Jerman serta situasi yang menimpa warga Palestin.

“Kami juga nyatakan pendirian bahawa penderitaan warga Palestin ini mesti dihentikan serta merta,” jelas Perdana Menteri.

Masjid Sehitlik merupakan masjid dengan seni bina Turki Uthmaniyyah yang siap dibina pada 2005.

Rumah ibadat umat Islam di Berlin itu pernah menjadi sasaran jenayah bakar sebanyak empat kali pada 2010, yang berakhir dengan pelaku di hukum penjara dua tahun sembilan bulan.