Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyeru rakyat agar mengekalkan harmonian dan kesefahaman antara agama yang telah lama dibina.

“Yakinlah bahawa sikap persefahaman dan toleransi adalah tunjang kepada kesatuan rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

“Beriltizamkan Sirah Rasulullah SAW, kerajaan akan terus mempertahankan kesucian agama Islam dari dicemari dan diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu” ujar Najib di dalam perutusan rasmi beliau sempena hari Maulidur Rasul 1435 Hijrah.

Najib turut berkata, kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dan menobatkan syiar dan syariat Islam sebagai acuan pemerintahan sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Perdana Menteri mengumumkan tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”.

Menurut Najib, hakikat Wasatiyyah adalah berpaksikan keadilan sosial, keunggulan atau kecemerlangan dan keseimbangan serta kesederhanaan.

“Justeru Wasatiyyah adalah tonggak kepada segalanya, yang merupakan penentu kemakmuran, keharmonian dan kesatuan sesebuah bangsa atau ummah.” katanya lagi.

Najib juga berharap sambutan Maulidur Rasul sempena memperingati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW ini dapat menjadi pemangkin kepada penyatuan ummah dalam membangunkan negara.

Sambutan Maulidur Rasul akan disambut umat Islam seluruh negara ini pada Selasa.