NATIONAL
PM tetap hadir letak batu asas Masjid MADANI di Masjid India

Anwar memaklumkan program akan dijalankan seperti dirancang, meskipun terdapat pandangan berbeza daripada beberapa pihak. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memberitahu akan hadir merasmikan majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaan masjid di tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, pada Khamis ini.
Berucap pada Sambutan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis, Anwar memaklumkan program akan dijalankan seperti dirancang, meskipun terdapat pandangan berbeza daripada beberapa pihak.
“Kawasan-kawasan amalan di situ... masjid-masjid berdekatan sesak. Perlu ada tempat baharu. Jadi, sebab itu saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas di (tapak) masjid pada 27 hari bulan (Mac).
“Majlis agama, syarikat binaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)... semua diminta agar bersederhana.“Kita bincang dengan baik, cari jalan penyelesaian, kami adalah rakan dan sahabat. Jangan gambarkan kami sebagai orang yang zalim.
"Dalam masa sama, jangan dengar penghasut. Ada hasutan kata, buat masjid tepi kuil, yang salah… tanah itu milik syarikat. Dan kita beri ruang untuk kuil pindah dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam masa sama, Anwar turut mengingatkan semua pihak termasuk pemimpin politik kerajaan terdahulu supaya tidak cuba mengeruhkan lagi isu tersebut.
“Ada juga bekas menteri yang jadi jaguh walhal kelulusan bina masjid masa mereka berkuasa, kelulusan masa 2019, bukan masa saya (berkuasa).
“Menteri (sekarang) dah datang berunding dua tiga kali, Datuk Bandar pun pergi tempat tu, cukuplah,” katanya.
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tanah berkenaan bukan milik kerajaan, sebaliknya milik syarikat swasta sejak 2012 dan pemiliknya memutuskan untuk membangunkan masjid di lokasi itu.
"Kuil yang lama dan statusnya tidak mendapat kebenaran, tidak sah tetapi bagi memastikan hubungan kita harmoni, syarikat (pemilik tanah) setuju untuk menyalurkan sedikit bantuan manakala pihak DBKL sebenarnya sudah mencari tapak tanah ganti, supaya tidak menjadi masalah.
“Saya juga harap tidak perlu ada respons yang kurang wajar termasuk dalam kalangan masyarakat Islam dan kita tangani dengan baik kerana masjid akan terus dibina, tapak kuil akan disediakan," katanya.
Sebelum ini, Lawyers for Liberty (LFL) membidas kenyataan Anwar yang menyatakan akan merasmikan majlis pecah tanah itu.
Pengarah Eksekutif LFL, Zaid Malek dilapor berkata perbincangan mengenai perkara itu masih belum dimuktamadkan dan kenyataan Anwar disifatkan dibuat secara tergesa-gesa.
Pada 20 Mac lalu, media melaporkan proses perbincangan mengenai perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni di antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan DBKL.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami