Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri mendakwa Pakatan Harapan (PH) kini dalam keadaan terdesak kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa membuat kemunculan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Dakwanya lagi, PH telah mendapat gambaran bahawa rakyat telah hilang keyakinan terhadap kerajaan dan ini menyebabkan mereka ingin membawa pimpinan tertingginya turun berkempen.

“Ini pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja, bukan Parlimen. Biasanya perdana menteri tidak akan turun berkempen.

“Itu menunjukkan betapa terdesaknya mereka sehinggakan perdana menteri dan presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri perlu turun meraih undi,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Pasar Malam Pekan Semenyih di sini pada Sabtu.

Menurut presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, Dr Mahathir akan turun berkempen di Semenyih pada 28 Feb ini.

Sementara itu, Ismail turut menyatakan keyakinan akan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Semenyih disebabkan faktor kematangan calonnya, Zakaria Hanafi.

Katanya, janji-janji yang dibuat calon PH, Muhammad Aiman Zainali dilihat sebagai tidak matang dan hanya retorik.

“Jelas umur muda dengan yang lebih matang jauh berbeza. Apabila ditemui media juga dia tak pandai memberi jawapan.

“Dalam ucapannya terus berjanji seperti retorik lama. Menang hari ini, esok akan selesaikan semuanya. Di situ nampak tiada kematangan,” katanya.