KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Gawai yang akan disambut esok kepada ahli Keluarga Malaysia kaum Dayak di Sarawak.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ismail Sabri percaya perayaan Hari Gawai tahun ini kembali diraikan dalam suasana yang meriah setelah dua tahun negara dikekang oleh pandemik COVID-19.

"Ambillah peluang ini untuk kunjung-mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai tanpa mengabaikan keselamatan diri sendiri dan orang sekeliling.

"Semoga semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang selama ini menjadi budaya dan amalan hidup kita memantapkan lagi semangat Keluarga Malaysia. Gayu Guru Gerai Nyamai," menurut hantaran itu.

Perayaan Hari Gawai menandakan bermulanya musim baharu penanaman padi yang membawa nafas baharu kepada masyarakat Sarawak.

-- BERNAMA