Skip to main content

Malaysia

PM ulangi permohonan maaf salah guna istilah singgung masyarakat India

Sumber: BERNAMA
Perdana Menteri Anwar mengulangi permohonan maaf kepada masyarakat India susulan penggunaan istilah yang disifatkan beliau tidak tepat sebelum ini, sambil mengakui tersilap memilih perkataan ketika menyampaikan pandangan. - Gambar Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi permohonan maaf kepada masyarakat India susulan penggunaan istilah yang disifatkan beliau tidak tepat sebelum ini, sambil mengakui tersilap memilih perkataan ketika menyampaikan pandangan.

Beliau berkata, permohonan maaf itu dibuat kerana tidak berniat menyinggung mana-mana pihak, sebaliknya, mengakui, penggunaan istilah berkenaan telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sebahagian masyarakat India.

“Dalam satu forum di Universiti Malaya, saya telah menggunakan istilah yang tidak tepat. Saya sudah pun memohon maaf kerana bukan itu maksud saya.

“Perdana Menteri juga manusia biasa. Adakalanya saya tidak berniat sedemikian, tetapi menggunakan perkataan yang salah. Saya menerima kesilapan itu dan telah memohon maaf,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra PMX Bersama Komuniti India, di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh masyarakat India tempatan.

Beliau berkata, permohonan maaf tidak menjadikan seseorang pemimpin itu lemah, sebaliknya, mencerminkan keikhlasan untuk mengakui kesilapan serta membetulkan keadaan.

“Memohon maaf tidak menjadikan saya kecil. Saya melakukannya dengan ikhlas demi membawa perubahan kepada negara ini,” kata beliau. 

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan,Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum, dan tidak wajar mana-mana pihak memainkan sentimen perkauman dengan menyuruh rakyat berketurunan Cina pulang ke China atau masyarakat India kembali ke India.

“Saya hendak jawab, saya tidak peduli dengan naratif seperti itu. Malaysia ialah negara untuk semua rakyat Malaysia dan kita mesti bekerja untuk semua.

“Saya orang Islam dan tidak pernah diajar menghina penganut agama Hindu. Saya orang Melayu dan ibu bapa saya juga tidak pernah mengajar saya mengambil hak masyarakat India atau menindas masyarakat Cina,” kata beliau.

Sementara itu, Ramanan menyifatkan tindakan Anwar memohon maaf secara terbuka sebagai bukti jiwa besar seorang pemimpin yang sanggup mengakui kesilapan.

Beliau berkata, tidak ramai pemimpin, apatah lagi seorang Perdana Menteri yang sanggup berbuat demikian walaupun memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara.

“Ia memerlukan seorang yang amat berjiwa besar. Kadang-kadang kita dalam dunia perniagaan, malah orang kecil seperti kita juga merasakan diri kita terlalu besar untuk meminta maaf. 

"Tetapi ini seorang Perdana Menteri sebuah negara memohon maaf atas apa sahaja kekurangan yang ada pada dirinya. Dan, saya fikir hanya seorang yang benar-benar berjiwa besar mampu melakukan perkara itu … ,” katanya kepada pemberita selepas program itu.

Pada masa yang sama, Ramanan menggesa masyarakat India membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian kerajaan, bukannya sekadar janji politik.

Beliau berkata antara pencapaian yang telah dilaksanakan termasuk peningkatan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) daripada RM100 juta kepada RM150 juta, pembinaan enam sekolah Tamil baharu serta penyelesaian lebih 10,000 permohonan kewarganegaraan.

“Jangan membuat keputusan berdasarkan janji semata-mata. Lihat apa yang telah dilaksanakan dan nilai sendiri rekod kerajaan sebelum membuat pilihan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement