Skip to main content

Malaysia

PM umum tambahan peruntukan RM50 juta kepada MITRA

RAMAH MESRA ANWAR
Anwar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya (UM). -Gambar KESUMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada agensi itu meningkat kepada RM150 juta.

Beliau berkata keputusan menambah peruntukan tersebut dibuat selepas mengambil kira prestasi serta pelaksanaan program MITRA yang dilihat semakin berkesan dalam membantu masyarakat India, khususnya golongan memerlukan.

“Saya lihat mutakhir ini prestasi MITRA semakin baik, jadi saya setuju mulai tahun ini kita tambah kepada RM150 juta,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya (UM), di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, masih terdapat segelintir pihak yang memainkan sentimen kononnya kerajaan tidak memberi perhatian kepada masyarakat India, sedangkan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif telah dilaksanakan.

Beliau berkata dakwaan kerajaan tidak menyalurkan bantuan langsung kepada masyarakat India adalah tidak benar.

"Ada beberapa ahli politik India mengatakan kepada masyarakat India, takkan kita beri bantuan hanya RM100 juta setahun. Inilah masalah dalam negara kita.

“Mereka tahu kenyataan itu tidak tepat. Kerajaan telah menyalurkan pelbagai bantuan. Saya tidak mengatakan semuanya sempurna, masih ada ruang penambahbaikan, tetapi mengatakan tiada bantuan langsung adalah tidak benar,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, Datuk Seri R Ramanan berkata kenaikan peruntukan itu merupakan yang pertama sejak penubuhan MITRA lebih 20 tahun lalu.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap usaha pembangunan masyarakat India.

“Lebih 20 tahun lalu, peruntukan MITRA tidak pernah dinaikkan dan kekal pada RM100 juta,” katanya.

Pada majlis sama, Anwar turut menyerahkan bantuan peranti baharu kepada 3,000 mahasiswa India di seluruh negara.

Selain itu, bantuan kemasukan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi tahun 2025 turut disalurkan kepada 4,165 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta pusat bertauliah, membabitkan peruntukan keseluruhan RM8.3 juta.

 

Must Watch Video