KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak perlu mengubah suai sistem sedia ada atau membangunkan aplikasi baharu bagi memenuhi pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata mekanisme perkongsian data yang diperuntukkan di bawah RUU itu hanya melibatkan kementerian, jabatan, agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta badan berkaitan yang memiliki data pentadbiran.
Katanya bagi PMKS, mereka kekal sebagai responden statistik yang memberikan maklumat melalui banci atau survei secara bersemuka, melalui telefon atau dalam talian berdasarkan rekod sedia ada seperti sistem perakaunan, penyata kewangan tahunan dan rekod perniagaan tanpa memerlukan sebarang integrasi sistem atau pembangunan aplikasi baharu.
βMalah, pelaksanaan perkongsian data pentadbiran antara agensi kerajaan dijangka mengurangkan keperluan PMKS untuk mengemukakan maklumat yang sama berulang kali, sekali gus mengurangkan kos pematuhan dan beban pelaporan kepada perniagaan, khususnya PMKS.
βDengan pendekatan ini, kerajaan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian statistik rasmi tanpa membebankan sektor perniagaan dengan keperluan perubahan sistem atau kos tambahan,β katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU Statistik 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.
RUU itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas oleh 17 senator.
Mohd Shahar turut menjelaskan data yang dikumpulkan di bawah RUU Statistik 2026 tidak boleh digunakan bagi tujuan menentukan liabiliti cukai atau levi di bawah Subfasal 14 (2).
Beliau berkata hak milik data juga kekal di bawah agensi pembekal manakala aspek pelaksanaan termasuk kaedah perkongsian data, kawalan akses, perlindungan keselamatan maklumat dan pengurusan risiko siber akan diperincikan menerusi garis panduan perkongsian data serta mematuhi dasar keselamatan kerajaan dan peraturan yang berkuat kuasa.
Menurut beliau, data yang diterima oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hanya boleh digunakan bagi tujuan pengumpulan, analisis, tafsiran dan penyebaran statistik dalam bentuk agregat seperti yang diperuntukkan di bawah Subfasal 14 (1) manakala sebarang pendedahan maklumat individu oleh pegawai DOSM merupakan suatu kesalahan di bawah Subfasal 14 (1)(c) yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya perkongsian data yang sistematik seperti diperuntukkan di bawah Fasal 5, dijangka meningkatkan kecekapan penggubalan dasar, mengurangkan pertindihan pengumpulan data antara agensi, menjimatkan kos dan sumber kerajaan, menghasilkan statistik yang lebih tepat dan komprehensif, meningkatkan ketersediaan data pada peringkat granular serta mempercepat penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Beliau berkata RUU Statistik 2026 bertujuan memperkukuh tadbir urus Sistem Statistik Negara, memperkasakan peranan DOSM sebagai National Statistical Office (NSO), meningkatkan penggunaan data pentadbiran dalam penghasilan statistik rasmi serta menyokong pembuatan keputusan berasaskan bukti.
RUU Statistik 2026 diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai lepas bertujuan antaranya menggantikan Akta Perangkaan 1965 (Akta 415) bagi mewujudkan satu kerangka perundangan yang lebih moden, komprehensif serta selaras dengan ekosistem data dan statistik semasa.
Persidangan Dewan Negara ditangguhkan kepada suatu tarikh yang belum ditetapkan.
-- BERNAMA