BALING : Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk tawan dan mentadbir enam negeri selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Selangor dan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keyakinan itu berdasarkan gelombang 'hijau' rakyat terhadap gabungan itu dilihat masih meningkat.

Menurutnya, ia juga didorong prestasi mendukacitakan Kerajaan Perpaduan sehingga membolehkan lebih ramai penyokong berpihak kepada PN.

"Gelombang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih bersama PN, saya yakin makin meningkat... sebab dulu orang tak tau prestasi, sekarang ni orang tengok prestasi (Kerajaan Perpaduan) sangat mendukacitakan, maka orang sambung dengan gelombang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci dan Geran Tanah kepada 12 keluarga banjir aliran puing Kampung Iboi di Keda Kampung Sadek, Kupang di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau dengan nada sinis turut menyelar tindakan seorang menteri yang dikatakan 'menunggang' lembu sehingga menyebabkannya ditertawakan.

"Ada orang pi naik lembu jadi menteri, masalah tak selesai dia pi naik lembu, orang gelak la, jadi pemimpin, jadi menteri jangan buat kerja macam tu, ditertawakan... itulah prestasi," katanya.

Dalam perkembangan sama, apabila ditanya tentang pembahagian kerusi gabungan BN-PH yang belum selesai, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Masalah rumah tangga depa, hangpa (urus) sendirilah, saya tak mahu komen," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 12 keluarga mangsa banjir aliran puing Kampung Iboi, Julai tahun lalu yang mengalami kerosakan tempat tinggal dan harta benda, telah menerima rumah masing-masing berserta geran yang diserahkan oleh Muhammad Sanusi.

Dalam kejadian 4 Julai 2022, tiga beranak termasuklah seorang wanita hamil dan ibu mertua yang lumpuh, maut selepas rumah mereka dihanyutkan air deras. - Sinar Harian