KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan seorang pelajar lelaki 14 tahun yang melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah, di sini kerana mendakwa tidak tahan dibuli, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi Bernama berkata keterangan pelajar berkenaan, akan direkodkan selepas remaja itu keluar dari hospital.

"Polis akan memanggil selepas remaja itu keluar dari hospital dan akan memutuskan tindakan seterusnya," katanya ringkas.

Sementara itu, ibu kepada pelajar lelaki berkenaan Shuhada Jamaludin, 38, berkata anaknya masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, di sini, akibat trauma.

Shuhada berkata anaknya mungkin memerlukan sedikit masa untuk kembali stabil daripada segi emosi dan fizikal, sebelum membuat laporan polis.

"Saya telah hadir ke balai polis untuk buat laporan tetapi atas nasihat polis, tunggulah sehingga anak saya sihat sepenuhnya," katanya ketika dihubungi.

Pada Khamis lepas, remaja berkenaan dilaporkan hilang dari kawasan sebuah sekolah di Cheras sebelum ditemukan dalam keadaan lemah di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, di sini.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan buli melibatkan pelajar berkenaan dan akan memastikan perkara itu diselesaikan segera.

-- BERNAMA