IPOH: Polis Daerah Hilir Perak berjaya menahan tiga lelaki tempatan, termasuk dua remaja, yang disyaki terlibat dalam dua kes samun bersenjata dan pecah kedai peralatan memancing di Teluk Intan semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata, dalam kes pertama, polis menahan seorang suspek berusia 32 tahun, yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata terhadap seorang wanita warga emas di sebuah rumah di Langkap, minggu lalu.
Menurutnya, lelaki itu ditahan di Slim River, kira-kira jam 2.30 pagi semalam, selain polis menemui semula seutas gelang emas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan, untuk siasatan selanjutnya.
“Mahkamah Majistret Teluk Intan membenarkan permohonan reman selana tujuh hari sehingga 17 Ogos bagi membantu serta melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan.
Menurut Chua, tangkapan itu ekoran laporan yang diterima pihak polis pada 3 Ogos lalu daripada seorang wanita tempatan berusia 69 tahun yang mendakwa disamun seorang lelaki tidak dikenali.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, suspek yang bersenjatakan parang dipercayai merampas seutas gelang tangan emas yang dipakai mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan kerugian dianggarkan kira-kira RM6,000.
Menurutnya, dalam kes berasingan, polis menahan dua remaja berusia 13 dan 19 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah kedai alatan memancing di sekitar Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.
Katanya, kedua-dua remaja itu diberkas dalam dua serbuan berasingan, ekoran laporan polis yang diterima daripada pemilik kedai pada 30 Julai lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah peralatan memancing telah hilang dengan anggaran kerugian kira-kira RM8,000,” tambahnya.
Chua berkata, ekoran penahanan dua remaja itu, polis turut menemui dan merampas semula sejumlah barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua remaja akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini untuk dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.