KUBANG PASU: Polis berjaya membongkar makmal mini pemprosesan dadah jenis heroin menerusi serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Puteri, Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan itu susulan penahanan dua lelaki di Kampung Gelong Rambai, Padang Limau, mukim Tunjang, Jitra.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai sebuah beg kertas, yang mana dalamnya mengandungi dadah pelbagai saiz disyaki heroin anggaran berat 4.6 kilogram (kg)

"Hasil soal siasat telah membawa pasukan serbuan ke sebuah rumah disyaki dijadikan makmal mini tempat memproses dadah sejak September lepas di Sungai Petani," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini pada Ahad. Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan rumah itu telah menemukan dadah termasuk satu peket lut sinar mengandungi 22 biji pil disyaki yaba anggaran berat 2.47 gram (g).

"Turut ditemui, satu plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis kafein anggaran berat 307g dan satu plastik warna merah mengandungi dadah disyaki kafein anggaran berat 659g.

"Turut ditemui satu bekas plastik warna merah mengandungi dadah disyaki heroin anggaran berat 6.7kg dan lima bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 5.08kg," katanya.

Mohd Taufik memaklumkan, pemeriksaan lanjut menemukan peralatan-peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah di makmal dadah itu.

Sehubungan itu, pihaknya merampas peralatan seperti tukul besi, gunting besi, sealer elektronik, dapur elektrik, alat penimbang digital dan penapis.

Kata beliau, hasil saringan ke atas suspek pertama berusia 53 tahun dari Air Itam, Pulau Pinang itu didapati positif dadah jenis morfin dan memiliki sembilan rekod lampau berkaitan narkotik.

"Ujian saringan ke atas suspek berusia 36 tahun dari Sungai Petani, Kedah juga menunjukkan keputusan positif dadah jenis morfin dan mempunyai empat rekod jenayah narkotik," katanya.

Mohd Taufik berkata, nilai rampasan semua dadah itu dianggarkan RM71,500.

Katanya, kedua-dua suspek direman di lokap IPD Kubang Pasu untuk siasatan lanjut sehingga 26 Oktober ini.