Skip to main content

Malaysia

Polis buka kertas siasatan kes pecah cermin kereta di Elmina Park

ACP RAMSAY EMBOL
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian pecah cermin kenderaan di Elmina Park, Shah Alam selepas menerima laporan perbuatan khianat yang tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, kejadian melibatkan seorang wanita tempatan berusia awal 40-an yang mendapati cermin kereta miliknya dipecahkan ketika diletakkan di kawasan berkenaan semasa dia keluar beriadah.

Advertisement

Katanya, berdasarkan laporan polis yang diterima, mangsa meletakkan kenderaannya di tepi jalan sebelum pergi bersenam.

Namun, sebaik kembali kira-kira 40 minit kemudian, dia mendapati cermin bahagian hadapan penumpang telah pecah.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada barang berharga yang hilang dari dalam kenderaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan laporan tersebut, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat bagi memudahkan pengesanan suspek.

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai selepas perkongsian di media sosial mengundang kebimbangan pengunjung terhadap aspek keselamatan di kawasan rekreasi tersebut.

Must Watch Video