KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung penularan dua klip video di laman sosial mendakwa berlaku kejadian culik di Pasar Raya Lotus Bukit Sentosa, Rawang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata video bertajuk "Yang mana PM myhuluselangor tanya kes dekat Lotus Bukit Sentosa" yang tular sejak 9 pagi tadi itu sebenarnya merupakan kes curi di dalam pasar raya berkenaan melibatkan seorang suspek lelaki berumur 33 tahun yang ditahan orang ramai.

"Polis sedang mengesan individu yang menularkan video berkenaan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Laporan polis mengenai kejadian curi berkenaan telah dibuat oleh pekerja pasar raya itu semalam pada pukul 1.07 tengah hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video berkenaan kerana ia mengelirukan dan boleh membawa kegusaran kepada masyarakat.

-- BERNAMA