PASIR MAS: Polis Kelantan sedang mengesan seorang lelaki berusia 45 tahun ekoran penemuan satu beg silang mengandungi dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda yang dianggarkan bernilai RM33,260 di Kampung Perah Slow Machang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata beg silang itu ditemui ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menjalankan Op Narkotik di kampung terbabit pada 6.45 petang.

Beliau berkata ketika operasi itu anggota ternampak sebuah kereta Proton Wira diletakkan di tepi hutan di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di kampung itu yang dilihat mencurigakan.

"Anggota yang menghampiri kereta itu mendapati keadaan kereta itu terkunci tetapi pada masa sama terdengar bunyi pergerakan di dalam kawasan hutan berhadapan rumah tersebut, anggaran jarak 20 meter.

"Pihaknya terus berlari masuk ke kawasan hutan tersebut tetapi mendapati tiada kelibat orang dan ketika pemeriksaan dilakukan di kawasan sekitar kawasan telah menjumpai satu beg silang mengandungi pelbagai jenis dadah dan barang peribadi milik suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata pemeriksaan lanjut menemukan 87.5 gram heroin, 324 biji pil kuda dan 1.0 gram syabu di dalam beg silang itu selain sekeping kad pengenalan, dua kad bank, wang tunai, dua unit telefon bimbit dan anak kunci bertulis Proton.

"Berdasarkan semakan ke atas kad pengenalan yang ditemukan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan kali terakhir ditahan adalah pada 16 Mei 2019 atas kesalahan sama.

"Polis juga telah membuat serbuan susulan ke alamat rumah suspek namun didapati tiada penghuni namun tindakan susulan akan diteruskan untuk mengesan suspek," katanya yang menambah maklumat bahawa kes akan di siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-- BERNAMA