Skip to main content

Malaysia

Polis buru suspek pecah rumah di Taman Melawati

81755522741_PolisLogoPolisP.jpg
Polis turut menemukan tiga kesan cap jari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Melawati, Gombak, dekat sini, yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM800,000.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata kejadian yang turut tular di media sosial itu berlaku di sebuah rumah di Jalan I-Satu, Taman Melawati dan hanya disedari mangsa sebaik pulang kira-kira 11.30 malam, Khamis lepas, apabila mendapati ruang tamu serta beberapa bilik dalam keadaan berselerak.

“Mangsa mendapati pintu belakang rumah berkenaan mempunyai kesan umpil, dipercayai telah dipecah masuk oleh suspek. Dia kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa mendakwa kehilangan beberapa barang kemas dan jam tangan dengan anggaran nilai kerugian sekitar RM800,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek dipercayai masuk melalui pintu belakang rumah itu dengan cara mengumpil kekisi serta pintu rumah sebelum menggeledahnya .

Polis turut menemukan tiga kesan cap jari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa memastikan rumah berkunci serta meningkatkan ciri keselamatan bagi mencegah kejadian pecah rumah, selain meminta mereka yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

Must Watch Video