Skip to main content

Malaysia

Polis gesa orang ramai optimum penggunaan VSP tangani isu tular

GEORGE TOWN, 15 April -- Seorang remaja berusia 20-an mendaftar menjadi Rakan Cop selepas memuat turun aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). Menerusi Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14, antaranya berhubung 'Keselamatan Rakyat Keutamaan Kami' dengan menambah jumlah Rakan Cop dan Polis Bantuan terlatih bagi membantu mencegah jenayah dalam kawasan kejiranan dalam tempoh lima tahun mendatang. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin berkata perbuatan menularkan kejadian jenayah terlebih dahulu tanpa saluran laporan rasmi boleh menjejaskan kecekapan tindakan penguatkuasaan. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa masyarakat supaya  mengoptimumkan penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi menyalurkan maklumat jenayah atau insiden tular dengan lebih pantas dan selamat berbanding sekadar memuat naik dalam media sosial.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin berkata perbuatan menularkan kejadian jenayah terlebih dahulu tanpa saluran laporan rasmi boleh menjejaskan kecekapan tindakan penguatkuasaan.

"Kita ada VSP dan sepatutnya masyarakat menggunakan saluran itu. Memang aduan dahulu dibuat secara fizikal di balai, namun platform media sosial hari ini menuntut kita bekerja lebih keras dan proaktif. Arahan pucuk pimpinan PDRM amat jelas supaya isu tular ditangani cepat dan proaktif demi keselamatan awam.

"Aplikasi VSP kerap digunakan untuk makluman balik kampung sewaktu musim perayaan sedangkan ia boleh juga digunakan untuk melapor kes-kes lain. Oleh sebab itu kita (PDRM) galakkan masyarakat mendaftar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) kali ke-10 Tahun 2026 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata unit khas PDRM sentiasa memantau penularan maklumat dalam pelbagai platform digital bagi memastikan tiada persepsi bahawa pihak penguat kuasa tidak bertindak balas terhadap isu keselamatan semasa.

"Penggunaan aplikasi VSP secara meluas bukan sahaja membolehkan laporan disalurkan dengan telus, malah membantu pihak penguat kuasa bertindak tepat pada masanya," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata PDRM akan terus memperkasakan promosi pendaftaran aplikasi VSP di seluruh negara bagi memaksimumkan saluran komunikasi interaktif antara polis dan masyarakat.

Sementara itu, dalam isu berkaitan persekitaran sekolah, Noor Hisam berkata pihaknya menerusi JPJKK turut mempertingkatkan peranan pegawai perhubungan sekolah (PPS) dan kekerapan rondaan bagi mengekang isu buli dalam kalangan pelajar.

"Penglibatan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan ditingkatkan ke kawasan sekolah bagi mewujudkan kehadiran polis sebagai langkah pencegahan awal, termasuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui mesyuarat pemuafakatan berkala.

"Selain itu, pihak pengurusan sekolah diingatkan agar tidak menyembunyikan sebarang kes buli demi reputasi, sebaliknya melaporkan segera kepada polis untuk siasatan telus tanpa melindungi mana-mana pihak," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement