GEORGE TOWN: Polis mengingatkan penganjur aktiviti konvoi melibatkan motosikal atau kenderaan di Pulau Pinang supaya merancang pergerakan secara lebih teliti berikutan keadaan trafik dijangka lebih sesak, terutama ketika musim cuti sekolah, hujung minggu dan penganjuran program berskala besar.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata perkara itu turut mengambil kira pelaksanaan kerja pembinaan, termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di beberapa koridor utama yang memerlukan pergerakan kenderaan secara berkumpulan dirancang dengan mengambil kira keadaan trafik semasa.
“Penganjur hendaklah memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak polis di daerah berkaitan mengenai penganjuran konvoi bagi membolehkan penilaian dan nasihat berkaitan aspek keselamatan serta pengurusan trafik diberikan.
“Penilaian itu akan mengambil kira laluan yang digunakan, jumlah peserta, masa pergerakan, lokasi persinggahan serta keadaan trafik semasa. Langkah ini penting bagi memastikan aktiviti konvoi dapat dilaksanakan secara teratur tanpa menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penganjur dan peserta juga wajib mematuhi semua undang-undang serta peraturan jalan raya selain mematuhi arahan anggota polis dan petugas trafik yang mempunyai kuasa di sisi undang-undang.
Lim berkata peserta tidak dibenarkan menghalang, memperlahankan atau mengganggu aliran trafik, termasuk berhenti secara berkumpulan di persimpangan, bahu jalan atau lokasi yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Beliau turut mengingatkan pengiring atau marshal bahawa mereka tidak dibenarkan mengambil alih fungsi pihak berkuasa dalam mengawal lalu lintas, termasuk menghentikan kenderaan, mengarahkan pengguna jalan raya lain memberikan laluan atau membuat lencongan trafik tanpa penglibatan serta arahan pihak berkuasa.
“Penggunaan siren, lampu amaran berkelip atau peralatan seumpamanya secara tidak sah pada kenderaan persendirian juga tidak dibenarkan. Semua peserta juga perlu bergerak secara berdisiplin, tidak melakukan aksi berbahaya serta tidak mengganggu pengguna jalan raya lain sepanjang konvoi,” katanya.
Beliau berkata penganjur juga perlu mengambil kira kerja pembinaan, penutupan atau pengurangan lorong dan lencongan trafik sebelum menetapkan laluan serta waktu pergerakan konvoi.
“PDRM Pulau Pinang tidak menghalang penganjuran aktiviti komuniti atau konvoi yang dilaksanakan secara bertanggungjawab, namun kepentingan sesuatu program tidak boleh mengatasi keselamatan pengguna jalan raya, ketenteraman awam dan pematuhan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.
-- BERNAMA