MALAYSIA
Polis isytihar kawasan kebocoran gas di Kerteh selamat

Polis mengesahkan kawasan Petronas Gas Berhad (PGB) di tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kerteh, selamat dan bebas daripada pencemaran akibat kebocoran gas butana. - BERNAMA
CHUKAI: Polis mengesahkan kawasan Petronas Gas Berhad (PGB) di tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kerteh, dekat sini selamat dan bebas daripada pencemaran akibat kebocoran gas butana.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata ia susulan bacaan alat pengesan gas berteknologi tinggi oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Petronas di sekitar kawasan berkenaan dalam tempoh dua hari menunjukkan angka sifar.
Beliau berkata pihaknya telah menamatkan operasi dan menutup Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada 4 petang tadi.
"Pemantauan selama dua hari iaitu pada hari keempat dan kelima kejadian menunjukkan bacaan had letupan rendah (LEL) gas adalah kosong. Jadi, kita boleh umumkan bahawa keadaan tersebut adalah terkawal dan selamat."Selepas ini kita akan ke fasa seterusnya iaitu untuk pihak Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (JKKP) masuk serta melakukan siasatan di tapak kejadian," katanya pada sidang media di PKTK berkenaan hari ini.
POLIS-GAS 2 (AKHIR) CHUKAI
Bagaimanapun, Mohd Razi berkata pihak polis akan membuka pusat kawalan dan menempatkan anggota di lokasi berkenaan untuk bertugas selama 24 jam bagi membantu JKKP melakukan siasatan.
"Tempoh siasatan dijalankan JKKP bergantung kepada keadaan semasa, cuaca dan sebagainya. Kita akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," katanya.
Sementara itu, Pakar Hazmat JBPM Terengganu Kasyfi Syahmi Ghazali berkata pihak bomba juga akan membuka pos kawalan di kawasan kira-kira 50 hingga 100 meter dari lokasi paip gas bocor bagi membantu keperluan JKKP.
Bagaimanapun beliau berkata bilangan anggota akan dikurangkan memandangkan keadaan sekitar sudah diisytiharkan selamat dan bebas daripada pencemaran gas.
"Untuk kerja selepas ini kita serah kepada anggota Hazmat Balai Bomba Kerteh... pegawai Zon akan turut hadir bagi memantau," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami