Polis menjangkakan siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rahsid Ibrahim berkata ketika ini pihaknya sedang mengumpulkan semua keterangan dalam satu fail siasatan dan akan menyerahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AG) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya lagi, pasukan khas yang menyiasat kes tersebut telah bermesyuarat dan membincangkan tindakan selanjutnya bagi memastikan siasatan kes itu berjalan lancar.

"Setakat ini siasatan berjalan lancar dan dalam masa singkat kita akan lengkapkan siasatan sepenuhnya. Itu tanggungjawab polis, kita kumpul keterangan dalam satu fail penyiasatan dan kita rujuk, serahkan kepada pendakwaraya.

"Pejabat Peguam Negara perlu diberi ruang dan masa. Setakat ini siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dirujuk dalam masa terdekat. Diharap dapat siap dalam masa satu atau dua bulan. Kebanyakan keterangan telah diambil," kata beliau selepas hadir pada program Kayuhan Solidariti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Noor Rashid berkata beberapa lagi individu yang terlibat dalam beberapa syarikat yang mempunyai kaitan dengan 1MDB akan dipanggil dan direkodkan keterangan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan siasatan 1MDB kepada aspek pecah amanah, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi fokus terhadap isu pengubahan wang haram.

Ketika ini Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM dan SPRM sedang giat mengumpul bukti kukuh bagi menyiapkan kes berkenaan termasuk transaksi haram yang dilakukan antara 2011 hingga 2014.

Siasatan melibatkan maklumat yang perlu dikumpulkan di sekurang-kurangnya lima negara asing.

Sebelum ini Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki menyatakan siasatan agensi antirasuah itu terhadap skandal 1MDB sudah mencapai tahap 60 peratus.

Katanya baki 40 peratus lagi sedang diusahakan dan ia melibatkan pengumpulan bahan bukti yang ada di luar negara.