Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Polis kawal akses bekas Exco ke Wisma Negeri demi keselamatan awam

Wisma Negeri
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kawalan akses itu dilaksanakan sejurus pengumuman pembatalan pelantikan bekas Exco berkenaan oleh pihak Istana Negeri Sembilan. - Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan mengesahkan telah melaksanakan kawalan akses terhadap bekas barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan ke Wisma Negeri.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kawalan akses itu dilaksanakan sejurus pengumuman pembatalan pelantikan bekas Exco berkenaan oleh pihak Istana Negeri Sembilan.

“Pihak polis telah melaksanakan pengurusan akses ke pejabat Wisma Negeri terhadap bekas barisan Exco Negeri Sembilan sejurus pengumuman pembatalan pelantikan yang dibuat oleh pihak Istana Negeri Sembilan.

“Tindakan ini bagi memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis berkenaan terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Dalam pada itu, Alzafny berkata kehadiran serta kawalan keselamatan polis di beberapa lokasi termasuk Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Balai Undang Luak Sungei Ujong dan Wisma Negeri adalah juga bagi memelihara keselamatan awam.

Jelasnya, sebarang kawalan akses dilaksanakan secara terkawal berdasarkan penilaian keselamatan semasa serta keperluan pengurusan premis.

Ia juga bagi mengelakkan sebarang keadaan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam.

“Tindakan berkenaan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai PDRM (Polis Diraja Malaysia) memihak atau memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pihak dalam perkara yang sedang melalui proses perlembagaan dan perundangan.

“PDRM turut mengambil maklum kenyataan Jabatan Peguam Negara berhubung Proklamasi bertarikh 19 April 2026 serta perkembangan proses perundangan berkaitan perkara itu,” tambahnya.

Menurut Alzafny, PDRM menghormati sepenuhnya proses perlembagaan, perundangan dan institusi yang sedang berjalan serta tidak akan membuat sebarang penentuan terhadap perkara di luar bidang kuasa pasukan itu.

Beliau menegaskan PDRM akan terus melaksanakan tugas secara profesional, adil dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau mengancam keselamatan mana-mana individu dan institusi,” jelasnya.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan kekal tenang, menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan serta tidak membuat atau menyebarkan spekulasi dan maklumat tidak disahkan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat.

PDRM akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah keselamatan bersesuaian bagi memastikan keamanan, keselamatan serta ketenteraman awam di Negeri Sembilan sentiasa terpelihara.

Must Watch Video

Advertisement