MALAYSIA
Polis Kedah rampas ganja bernilai hampir RM300,000

Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah (dua, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu hari ini. - Bernama
JITRA: Polis Kedah mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 93.77 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM290,600 dan menahan empat lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar Bukit Kayu Hitam bermula 30 Julai hingga semalam.
Ketua Polis Kedah Komisioner Adzli Abu Shah berkata dalam serbuan pertama di Taman Lama Ladang Rakyat Laka Temin, Bukit Kayu Hitam pada 30 Julai lepas, suspek berusia 18 tahun ditahan dan tiga bungkusan plastik hitam berisi 55 balutan disyaki ganja seberat 57,352.85 gram dirampas di sebuah kawasan semak.
"Susulan tangkapan itu, dalam serbuan kedua pada 31 Julai, kita berjaya menemui dua bungkusan plastik hitam berisi 35 balutan ganja dengan anggaran berat 36,414 gram berhampiran lokasi pertama namun tiada sebarang tangkapan dibuat.
"Maklumat diperolehi kemudiannya membawa kepada serbuan ketiga pada 9 malam hari sama dan suspek berusia 19 tahun ditahan di dalam sebuah kereta dekat sebuah stesen minyak di Changlun."Serbuan keempat pada 5 petang semalam (2 Ogos), kita berjaya memberkas dua lagi ahli sindiket berusia 24 (pengasas) dan 28 tahun (perunding urusan dadah) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Adzli kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan oleh lebih 187,000 penagih.
"Modus operandi digunakan ialah dengan menyewa motosikal negara jiran sebelum menyeludup dadah masuk ke negara ini melalui jalan sah di sempadan Bukit Kayu Hitam.
"Suspek pertama sebagai penjaga tempat transit menerima upah RM100 manakala suspek kedua sebagai pengangkut (transporter) yang menerima upah RM400 sekali trip.
"Kesemua dadah disembunyikan di ladang berkenaan sebelum diedarkan. Kita masih mengesan dua lagi ahli sindiket yang masih bebas dan sindiket ini dipercayai berpangkalan di Danok, Songkhla, Thailand sejak Mac 2025," katanya.
Katanya lagi tiga suspek didapati positif metamfetamina dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mereka direman antara empat dan enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) ADB 1952.
"Semua suspek ada peranan masing-masing dan masih kelihatan masih muda untuk berkecimpung dengan sindiket pengedaran dadah ini. Saya ingatkan bahawa polis tidak alpa dan akan terus mengetatkan kawalan di sempadan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan ini," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami