ALOR SETAR: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan bersama 16 kilogram (kg) dadah jenis ganja mampat bernilai RM50,250 dalam dua serbuan berasingan di Kota Setar, Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam serbuan pertama, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz yang dinaiki dua lelaki berusia 24 dan 43 tahun dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kuala Alor, Jalan Alor Mengkudu pada jam 1.30 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di tempat duduk penumpang bahagian tengah kenderaan itu menemui enam balutan plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi dadah disyaki ganja anggaran berat 6,210 gram.

"Berikutan itu, polis menahan dua lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan siasatan, suspek pertama yang bekerja buruh berusia 24 tahun beralamat di Padang Besar, Perlis dan mempunyai lima rekod kesalahan dadah serta rekod kesalahan jenayah.

"Suspek kedua yang berusia 43 tahun yang juga mempunyai lima rekod kesalahan dadah dan beralamat di Padang Besar, Perlis. Kedua-duanya positif dadah jenis methampetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Ahad.

Fisol berkata, nilai dadah yang dirampas dalam serbuan pertama itu adalah sebanyak RM19,250 selain wang tunai bercampur bernilai RM100 turut dirampas.

Beliau berkata, kedua-dua tahanan itu turut direman sehingga 10 Januari ini di lokap Balai Polis Alor Setar dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kes memiliki dadah dan Bahagian III ADB 1988 bagi sitaan wang tunai.

Fisol berkata, susulan daripada itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 36 dan 32 tahun pada jam 4.10 pagi dalam serbuan di tepi lorong, Kampung Kuala Alor, Jalan Alor Mengkudu, Simpang Kuala, di sini pada hari sama.

Beliau berkata, mereka yang menaiki kereta jenis BMW merah ditahan siasatan dan maklumat yang diperolehi.

"Hasil pemeriksaan di tempat duduk penumpang bahagian belakang kemudian menemui sebuah kotak di dalam terdapat 10 balutan plastik lutsinar di dalamnya mengandungi dadah disyaki ganja dianggarkan seberat 10,005 gram.

"Berikutan itu, polis menahan kedua-dua suspek untuk membantu siasatan.

"Hasil semakan mendapati suspek berusia 36 tahun itu beralamat di Kuala Ketil dan bekerja sebagai buruh serta mempunyai empat rekod kesalahan dadah dan 11 rekod kesalahan jenayah.

"Suspek wanita berusia 32 tahun pula tidak memiliki rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing pula mendapati dia negatif dadah," katanya.

Fisol berkata, nilai dadah yang dirampas dalam serbuan kedua itu adalah RM31,000 dan wang tunai bercampur-campur yang dirampas sebanyak RM100.

Beliau berkata, kedua-dua suspek itu juga ditahan reman di Balai Polis Alor Setar sehingga 10 Januari ini bagi Seksyen 39 ADB 1952 bagi kes memiliki dadah dan Bahagian IIu ADB 1988 bagi sitaan wang tunai.

"Kita percaya dadah berkenaan disyaki dibawa masuk dari negara jiran namun siasatan masih dilakukan," katanya.