RANTAU PANJANG: Polis Kelantan akan mengadakan sesi libat urus bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mencari jalan penyelesaian menangani masalah kesesakan teruk setiap kali cuti Aidilfitri di Kelantan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, kesesakan yang berlaku sepanjang Hari Raya pertama hingga ketiga semalam berada pada skala satu hingga tiga.

"Keadaan lalu lintas semalam boleh dikatakan berada pada skala tiga atau lebih 15 minit kenderaan tidak bergerak, kita kira sebagai kesesakan teruk.

"Raya pertama dan kedua juga menyaksikan jalan raya mengalami kesesakan pada skala satu dan dua.

"Mungkin pihak Polis akan mengadakan pertemuan dengan agensi seperti Majlis Daerah, Unit Perancang Bandar bagi melihat dan mencari kaedah mengurangkan kesesakan di jalan-jalan bandaran pada waktu cuti Aidilfitri," katanya di sidang media selepas melakukan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang hari ini.

Menurut Muhammad Zaki, pihak polis khasnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan mampu menangani masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku beberapa hari lalu.

"Polis menggunakan sepenuh kekuatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri dengan dibantu unit lain dalam usaha menyuraikan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada Hari Raya pertama hingga hari ini, namun disebabkan pertambahan kenderaan, kesesakan tidak dapat dielakkan di jalan-jalan tertentu, persimpangan lampu isyarat dan sebagainya," jelasnya.

Mengulas mengenai Ops Selamat di Kelantan, pihaknya memaklumkan 13 kemalangan maut membabitkan 14 kematian direkodkan sepanjang tempoh Ops Selamat.

Manakala sejumlah 486 kes kemalangan direkodkan sepanjang tempoh Ops Selamat setakat semalam.

Antara faktor penyumbang kepada kes kemalangan itu antaranya, keletihan, memandu dalam keadaan mengantuk dan memandu dalam keadaan terburu-buru.

"Faktor keletihan, badan yang letih dan mengantuk selain sikap terburu-buru kerana ingin cepat sampai antara penyumbang kepada kes kemalangan termasuk kemalangan maut," tambahnya.

Jelas Muhammad Zaki lagi, sejumlah lebih 5,900 saman dikeluarkan setakat ini atas pelbagai kesalahan termasuk memotong di garisan berkembar dan memotong barisan.

Sementara itu, beliau menjelaskan Polis Kelantan akan mempertingkatkan pengawasan di sempadan negara Kelantan-Thailand susulan pembukaan tiga pintu sempadan hari ini.

Pengawasan dan kawalan dipertingkatkan di laluan dan pengkalan haram bagi mencegah aktiviti jenayah rentas  sempadan.

Tiga pintu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini mula dibuka hari ini bagi tujuan komersial dan lawatan sosial.

Tiga pintu ICQS tersebut ialah Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor.