KOTA BHARU: Polis memperketat langkah keselamatan di semua premisnya di negeri ini, termasuk menempatkan anggota kawalan dan memohon pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV), susulan insiden berunsur ugutan yang berlaku di Lapang Sasar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di Bachok.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata insiden melibatkan perbuatan menconteng pagar lapang sasar tersebut dengan perkataan berunsur ugutan serta penemuan sebuah beg hitam di kawasan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan cubaan mengugut pihak polis.
Susulan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Bachok menempatkan anggota bagi mengawal Lapang Sasar PDRM Kelantan berkenaan, selain memohon pemasangan CCTV di semua premis polis bagi memperkukuh aspek keselamatan dan membantu siasatan.
“Pada pandangan saya, ini adalah satu bentuk ancaman, cubaan untuk menakutkan kita. Kita masih siasat ke arah itu.
“Takkan orang biasa pergi conteng balai (lapang) sasar polis dengan tulisan macam-macam atau letak beg di depan premis. Semua ini kita lihat dari sudut bentuk ugutan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Yusoff berkata insiden pertama berlaku tidak lama selepas polis membuka semula hampir 100 kertas siasatan berkaitan kegiatan ‘along’ yang sebelum ini tidak diteruskan.
“Yang kes pertama itu selepas saya hentam along. Masa saya buka balik dekat 100 kes yang sebelum ini tak dibuka, dua tiga hari kemudian berlaku contengan di balai itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dua kejadian itu tidak sedikitpun menggugat semangatnya untuk terus menjalankan tanggungjawab membanteras jenayah demi kepentingan masyarakat.
“Saya tak ada rasa apa pun. Tak rasa takut, tak rasa gundah-gulana sebab hidup saya dah berserah kepada Allah Taala. Saya kerja nak bantu masyarakat,” katanya.
--BERNAMA