KOTA BHARU: Polis Kelantan menumpaskan dua sindiket mengedar dadah dikenali sebagai 'Mat Yo' dan 'Datin', selepas menahan 13 individu termasuk empat wanita warga Thailand, dan merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan hampir RM7 juta, dalam empat serbuan sejak Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata dalam serbuan pertama 5 Mei lepas, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di sebuah apartment di Kota Bharu selepas menjumpai satu beg plastik toto yang berisi 14 bungkusan mengandungi 84,000 biji pil kemerahan disyaki dadah bernilai sekitar RM840,000 dipercayai miliknya.

"Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Tanah Merah pada keesokkan harinya dan menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 43 tahun. Selepas pemeriksaan polis menemukan 378,000 pil kuda dianggar RM3.78 juta di premis berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai anggota sindiket 'Mat Yo', dan pada dua hari berikutnya polis menahan 11 lagi individu dipercayai anggota sindiket 'Datin'.

Katanya ia bermula dengan tangkapan pada 7 Mei lepas, apabila polis menahan seorang lelaki Thailand berusia 37 tahun di sebuah rumah di Kota Bharu selepas menjumpai dua botol plastik mengandungi kodein (ubat batuk) dan 30 bungkusan berisi pil merah dan hijau disyaki dadah.

"Kemudian, bertindak atas maklumat, polis menahan sebuah kenderaan di sekitar Kota Bharu dan menahan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 24 tahun selepas menemukan 17 bungkusan mengandungi syabu di dalam kenderaan berkenaan," katanya.

Shafien berkata berdasarkan dua tangkapan itu, polis menahan empat lagi lelaki tempatan dan empat wanita warga Thailand, termasuk seorang yang bergelar Datin di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah, semalam, bagi membantu siasatan.

Beliau berkata bagi sindiket 'Datin', polis merampas 180,000 biji pil kuda dan hampir 15 kilogram syabu, masing-masing bernilai RM1.8 juta dan RM540,000, dengan nilai sitaan pelbagai barangan berjumlah lebih RM300,000.

Menurutnya polis turut menyita pelbagai jenis barangan daripada semua anggota kedua-dua sindiket itu, yang berumur antara 23 dan 48 tahun, dan merampas pelbagai barangan lagi, antaranya kereta, barang kemas dan jam tangan, yang nilai keseluruhan dianggar berjumlah lebih RM369,000.

"Kesemua mereka (13 individu) ditahan reman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Shafien turut berkata keseluruhan jumlah rampasan dadah bagi kedua-dua sindiket berkenaan boleh digunakan seramai 305,000 penagih dan ia dipercayai bagi pasaran di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

-- BERNAMA