Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengeluarkan perintah larangan mengadakan perhimpunan yang membabitkan empat kumpulan di Dataran Merdeka esok.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, selain larangan yang dikeluarkan terhadap kumpulan Bersih 5.0 dan kumpulan NGO Gabungan Gerakan Merah Malaysia (GNGMM), terdapat dua lagi kumpulan yang akan turut serta dalam perhimpunan di lokasi sama.

"Selain dua kumpulan tersebut, melalui media sosial kita dapati dua lagi kumpulan lain akan menyertai perhimpunan pada Sabtu iaitu kumpulan Baju Putih dan kumpulan Baju Hitam.

"Polis mendapati keempat-empat kumpulan ini akan mengadakan perhimpunan di tempat yang sama dan pada tarikh yang sama, mereka mempunyai fahaman yang berbeza ini berkemungkinan akan berlaku perselisihan faham dan menimbulkan kekacauan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, polis akan mengadakan kawalan ketat bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam ketika perhimpunan berlangsung.

Notis berhimpun kumpulan Bersih 5 dan kumpulan Merah sebelum ini tidak diproses kerana mereka gagal mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti mana yang disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Notis perbaharui lokasi juga sehingga kini tidak diterima polis daripada kedua-dua kumpulan tersebut.

Sementara itu, Amar Singh turut mengingatkan bahawa penggunaan dron tanpa kebenaran Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) ketika perhimpunan tersebut adalah dilarang sama sekali.