SEREMBAN: Polis sedang mengesan dua beradik yang dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari asrama secara sembunyi di sebuah sekolah di Senawang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata kehilangan pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun itu dilaporkan gurunya setelah menyedari mereka tidak hadir semasa solat subuh kira-kira pukul 6 pagi.

"Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mereka telah memanjat keluar pagar hadapan sekolah terbabit pada pukul 3.32 pagi.

"Bimbang mengenai keselamatan dua beradik tersebut, guru berkenaan telah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa mereka dan berusaha mencari di merata tempat termasuk di kawasan sekolah, Senawang dan perhentian bas Terminal One, namun tidak menemukan kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanda berkata kes masih dalam siasatan dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai pelajar berkenaan boleh menghubungi Sarjan Norseli di talian 0193020511.

-- BERNAMA