KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pukul dalam satu klip video tular dipercayai berlaku di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, seorang pemandu kereta mengalami kecederaan di mata dan patah tulang hidung dipercayai akibat dipukul kedua-dua lelaki terbabit selepas mangsa dikatakan terlanggar seorang kanak-kanak yang sedang berjalan bersama ibunya di pasar borong berkenaan.

Dalam kejadian jam 7 petang itu katanya, mangsa sedang memandu keluar dari pasar borong tersebut, namun cermin sisi sebelah kanan keretanya dipercayai terkena kanak-kanak terbabit.

"Setelah menyedari insiden itu, mangsa terus memberhentikan kenderaannya untuk membantu kanak-kanak berkenaan.

"Dua lelaki tiba-tiba telah menumbuk dan menendang mangsa serta merampas kunci kereta miliknya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Eng Lai berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Selayang akibat kecederaan dialaminya.

"Kita telah menerima laporan daripada mangsa pada jam 11 pagi, Isnin. Kita sedang mengesan kedua-dua suspek yang terlibat bagi membantu siasatan," ujarnya.

Sebelum ini tular sebuah video berdurasi 22 saat memaparkan dua lelaki memukul seorang pemandu kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur pada Ahad.

Eng Lai berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul 03-40482222. -Sinar Harian