SERDANG: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Jalan Besar Seri Kembangan berhadapan kedai Machinery Trading pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, seorang lelaki yang mendakwa sebagai mangsa membuat laporan polis selepas suspek mengasarinya berikutan berlaku kemalangan jalan raya di antara mereka.

Menurutnya, semasa sedang berbincang untuk menyelesaikan kemalangan tersebut suspek telah memukul cermin helmet milik mangsa sehingga retak.

"Pada Khamis sekitar jam 4.50 petang, mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 telah terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda jenis berwarna putih.

"Dia kemudiannya menghentikan motosikal tetapi pemandu terbabit mengundurkan kenderaannya dan melanggar motosikal sehingga motosikal terperosok masuk di bawah kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Anbalangan memberitahu, kejadian tersebut turut dirakam menerusi rakaman video 'dashcam' milik seorang saksi.

"Suspek berbadan besar tinggi dan mempunyai tatu. Rakaman percakapan mangsa dirakamkan dan mendapati mangsa tidak mengenali suspek," katanya.

Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dan pihaknya akan mendapatkan pengesahan hospital sekiranya terdapat kecederaan dalaman.

"Siasatan akan diteruskan selepas 'order to investigate' (OTI) diperoleh," jelasnya.


*Berita asal di Sinar Harian