KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan berhubung nahas jalan raya di Jalan Sungai Buloh-Kepong melibatkan kematian seorang lelaki warga emas, pada 22 Julai lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu mangsa berumur 76 tahun menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai terbabas sebelum terjatuh di atas jalan raya.

"Mangsa (kemudian) dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan telah dimasukkan ke zon merah bagi mendapatkan rawatan.

"Pada Selasa (27 Julai) lepas, mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di HKL," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memohon saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian agar tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA