PENGUMUMAN keputusan PISA 2025 baru-baru ini sekali lagi meletakkan sistem pendidikan negara di bawah kanta penelitian umum.
PISA (Programme for International Student Assessment) ialah program penilaian antarabangsa kendalian OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi) yang bertujuan mengukur keupayaan murid dalam mengaplikasikan pengetahuan.
Pada masa sama, penilaian ini membantu negara yang dinilai untuk meneliti serta menambah baik sistem pendidikan masing-masing.
Penilaian ini melibatkan sampel ratusan ribu pelajar berusia 15 tahun dari pelbagai latar belakang sekolah di sesebuah negara peserta.
Mereka dipilih secara rawak dan ujian PISA dijalankan secara berkala, biasanya bagi setiap tiga tahun.
Keputusan PISA 2025 merupakan satu isyarat amaran buat Malaysia, memandangkan negara bakal diterajui oleh generasi ini pada masa hadapan.
Negara kita hanya mencatatkan skor 397 mata bagi Matematik, 393 bagi Bacaan, dan 419 bagi Sains, dengan purata keseluruhan sekitar 403 mata.
Ini merupakan purata skor paling rendah dalam sejarah sejak Malaysia mula menyertai PISA pada tahun 2009, malah lebih rendah berbanding keputusan PISA 2022.
Analisis data menunjukkan prestasi Matematik PISA Malaysia merosot secara berterusan daripada 440 mata pada 2018, 409 mata pada 2022, sebelum menurun lagi kepada 397 mata pada 2025.
Tanpa perlu membandingkan dengan Singapura yang menduduki antara tangga teratas dunia, negara jiran seperti Thailand dan Vietnam yang sebelum ini berada di belakang kita kini mencatatkan purata yang lebih tinggi bagi ketiga-tiga subjek berbanding Malaysia.
Malah, kita berada jauh di belakang Brunei yang mencatatkan skor 435 bagi Matematik, 426 bagi Bacaan, dan 439 bagi Sains.
Seperti biasa apabila isu ini timbul, pelbagai pihak—Kementerian, ibu bapa, murid, kurikulum mata pelajaran, serta guru, saling menuding jari untuk mencari kesilapan pihak lain.
Keadaan ini berlaku kerana kemerosotan pencapaian PISA tidak boleh dituding kepada satu-satu pihak semata-mata, melainkan ia mencerminkan kegagalan sistemik yang terhasil daripada saling tindakan pelbagai faktor.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan antara portfolio yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan Persekutuan, iaitu mencecah RM64.1 bilion pada tahun 2025 dan meningkat kepada RM66.2 bilion bagi tahun 2026.
Walau bagaimanapun, besarnya saiz suntikan dana ini belum menterjemahkan kesiapsiagaan akademik murid secara menyeluruh.
Ironinya, di peringkat kementerian dan gubalan kurikulum, umum maklum akan kewujudan jurang pelaksanaan dasar serta silibus yang terlalu padat, beraras tinggi, dan berfokuskan hafalan pengiraan rutin.
Kelemahan struktur kurikulum ini bukan sahaja membebankan guru, malah bertentangan dengan kehendak soalan PISA yang lebih menekankan penakulan logik dan pemikiran kritis.
Di samping itu, terdapat pihak yang mengaitkan kelemahan murid-murid kita dengan pemansuhan peperiksaan awam utama, iaitu PMR pada tahun 2013 dan UPSR pada tahun 2021.
Langkah pemansuhan tersebut dilihat telah mengurangkan penekanan terhadap penilaian berpusat.
Hatta, hal ini menyebabkan murid kurang bersedia untuk menghadapi bentuk soalan beraras tinggi dalam pentaksiran.
Malah, tanggapan bahawa Matematik itu subjek yang menakutkan (ansietas matematik) serta sikap murid yang tidak mengambil serius ujian PISA turut menyumbang kepada kejatuhan skor negara.
Situasi ini memburuk akibat kesan learning loss dan keciciran asas numerasi pasca-pandemik COVID-19, selain jurang sosioekonomi keluarga yang menjejaskan sokongan pembelajaran di rumah.
Dalam pelbagai kelemahan yang dilontarkan, sebilangan guru berpendapat bahawa faktor utama kemerosotan ini berpunca daripada ketiadaan fokus akibat lambakan aktiviti sekolah.
Sewaktu pandemik, pelbagai platform dan aplikasi pengisian data dalam talian diwujudkan secara tergempar untuk pemantauan.
Namun, apabila sekolah beroperasi secara bersemuka sepenuhnya, sistem-sistem digital ini tidak dimansuhkan, sebaliknya ditambah.
Apabila kalendar sekolah padat dengan pelbagai program, aktiviti luar bilik darjah, pertandingan, dan majlis rasmi, masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek teras seperti Matematik sering kali terganggu atau terpaksa dikorbankan.
Murid tidak mempunyai masa yang cukup untuk memproses dan menguasai konsep Matematik secara mendalam kerana jadual harian mereka terlampau sarat dengan aktiviti sampingan.
Bagi murid yang lemah, mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya kerana masa yang sepatutnya digunakan oleh guru untuk merancang pedagogi atau memberikan bimbingan pemulihan terpaksa dialihkan demi menyiapkan tugasan lain.
Guru yang dibebani dengan tugas klerikal dalam talian dan pengurusan aktiviti sekolah akan mengalami keletihan fizikal serta mental.
Tugasan dalam talian (online homework) yang masih diberikan di luar waktu sekolah menambah tekanan kepada murid.
Bagi keluarga yang berpendapatan rendah (B40), isu kekangan peranti dan capaian internet di rumah masih menjadi jurang utama yang belum selesai.
Inti pati pandangan di atas sesungguhnya amat berasas dan berakar pada realiti semasa, sekali gus membongkar dilema sebenar yang membelenggu pencapaian PISA negara.
Namun, soalan asas masih belum dijawab: Apakah sebenarnya rancangan kerajaan untuk mengatasi kemerosotan ini?
Langkah kerajaan yang melancarkan kerangka pembaharuan baharu seperti Pelan Hala Tuju Pendidikan Matematik Malaysia (2026–2035) dan Pelan Pelaksanaan Pendidikan STEM (2025–2030) wajar dipuji.
Pelan ini bertujuan mengukuhkan penguasaan konsep asas dan kemahiran penakulan Matematik serta pemikiran kritis, sekali gus memacu persediaan murid menghadapi pentaksiran beraras tinggi tanpa bergantung semata-mata kepada peperiksaan berpusat konvensional.
Rancangan Transformasi Pendidikan ini diharapkan bukan sekadar berkisar pada angka, formula, dan pengiraan.
Lebih daripada itu, usaha ini bertujuan memastikan pendidikan Matematik terus relevan, bermakna, dan berimpak, selari dengan keperluan murid serta cabaran masa hadapan.
Hal ini dikatakan demikian kerana acuan pendidikan yang dibina hari ini merupakan cermin penentu masa depan anak-anak, modal insan, dan daya saing Malaysia yang kita cintai.
Andai kata kita gagal merawat kebejatan sistem pendidikan hari ini, sebuah generasi bakal menanggung kesannya pada masa hadapan.
Dr Abdul Mutalib Embong dan Muhammad Mursyid Mohd Zaini ialah Pensyarah di Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu.
Penulisan Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian siding pengarang Astro AWANI.