PORT DICKSON: Polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian pecah tabung Masjid Kariah Bagan Pinang, di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamaad Mustafah Hussin berkata, pihaknya terkesan empat imej dimuat naik oleh pemilik sebuah akaun Facebook memaparkan individu dilihat cuba memecah tabung di sebuah masjid.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku di Masjid Kariah Bagan Pinang, Port Dickson.

"Hal ini disedari oleh jemaah masjid sekitar jam 5.40 pagi ketika ingin menunaikan solat subuh. Jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM500," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis kini sedang giat menjalankan risikan dalam usaha mengesan suspek terlibat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Muhammad Ihsan Abd Samad di talian 06-647 2222 atau Hotline IPD di talian 06-646 2999," katanya.

Gambar yang dimuat naik di Facebook berkenaan dipercayai imej yang diambil daripada rakaman kamera tertutup (CCTV) masjid di situ.

Sementara itu, pengguna media sosial itu meluahkan rasa marah selain yakin penjenayah itu akan segera ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seorang daripadanya menulis "Tak lama lagi dapat la tu...PDRM kan cekap," manakala seorang lagi berpendapat apa juga alasan yang menyebabkan individu itu melakukan perbuatan itu, ia tetap salah di sisi undang-undang. -Sinar Harian