Skip to main content

Malaysia

Polis Kuala Lumpur digesa manfaatkan analitik data, teknologi depani jenayah kompleks 

KUALA LUMPUR, 11 Sept - Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur daripada SAC Datuk Zulkifli Arin (kiri) kepada ACP Saefuddin @ Mohd Fitri Abdul Rahman (kanan) pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, malam ini. - fotoBERNAMA (2026)
Fadil (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas Zulkifli (kiri) kepada ACP Saefuddin @ Mohd Fitri Abdul Rahman (kanan) pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, malam ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Warga Polis Kuala Lumpur digesa sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi semasa, memanfaatkan analitik data serta memperkasakan perkongsian maklumat secara optimum bagi mendepani landskap keselamatan yang semakin kompleks.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata langkah proaktif itu penting memandangkan bentuk jenayah kini semakin berkembang, teknologi semakin canggih dan jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan kepolisan juga semakin tinggi.

Sehubungan dengan itu, beliau mahu setiap jabatan dan daerah di bawah Kontinjen Kuala Lumpur terus menilai keberkesanan strategi sedia ada bagi meningkatkan keupayaan pasukan dalam mencegah dan membanteras jenayah.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian yang sedia ada. Kenal pasti kelemahan, perbaiki kekurangan dan perkukuhkan perkara yang boleh menunjukkan hasil yang baik.

“Dalam melaksanakan tugas, kita hendaklah mengutamakan aspek kepantasan, ketepatan, profesionalisme dan keberkesanan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini malam ini

Fadil berkata aspek integriti, disiplin dan profesionalisme mesti sentiasa menjadi asas utama dalam setiap pelaksanaan tugas demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau ketika mengulas mengenai tahap keselamatan negara berkata ia berada pada tahap yang sangat baik, disokong oleh peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks global, termasuk berada di tangga ke-12 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 dan tangga ke-57 dalam Indeks Keganasan Global (GTI) 2024.

Pada masa yang sama, Fadil menyeru seluruh warga Polis Kuala Lumpur memupuk semangat kerja sepasukan serta memperkukuh sinergi antara jabatan bagi memastikan imej PDRM kekal dihormati di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Pada perhimpunan itu, beliau turut menyampaikan Surat Penghargaan kepada pegawai dan anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang, selain meraikan persaraan Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur, SAC Datuk Zulkifli Arin yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih 39 tahun menabur bakti dalam pasukan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement