Polis Labuan berjaya membongkar kegiatan pinjaman wang secara haram yang dijalankan satu sindiket yang mempunyai jaringan dengan pemberi pinjaman wang di pulau bebas cukai ini susulan penangkapan dua lelaki pada Selasa.

Kedua-dua lelaki itu, yang disyaki 'Ah Long', ditangkap kira-kira 11.30 pagi di sini dalam operasi 'Ops Vulture' yang dijalankan Bahagian Jenayah Komersil.

Polis turut menahan tiga wanita yang dipercayai menjadi sekutu lelaki berkenaan dengan berperanan sebagai pencari pelanggan untuk sindiket itu, yang kini mempunyai beratus-ratus peminjam.

Kelima-lima supek itu, termasuk seorang yang menjadi 'runner' sindiket, berusia antara 22 dan 28 tahun.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata kesemua suspek direman tiga hari bagi memudahkan siasatan dijalankan terhadap rangkaian 'ah long' itu, yang dipercayai yang pertama dibongkar di pulau ini.

Beliau berkata dalam operasi itu, polis turut merampas wang berjumlah RM34,133.30, sebanyak 75 keping risalah, seberkas salinan kad pengenalan, sejumlah 1,663 keping kad perniagaan, 29 buku senarai peminjam, 11 keping kad ATM, resit pembayaran, empat cap syarikat, buku skim pinjaman dan mesin pengira wang.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 untuk memberi fokus kepada dalang di sebalik sindiket itu. Polis percaya sindiket berkenaan telah beroperasi agak lama bardasarkan jumlah peminjam yang ramai.

"Kami tidak pernah menerima laporan atau aduan tentang kegiatan pinjaman wang secara haram di sini sehinggalah kami membuat risikan dan operasi sendiri," katanya pada sidang berita di sini, pada Rabu.

Muhamad Farid berkata sindiket itu menyasarkan peniaga kecil dan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan menawarkan pinjaman yang mudah diluluskan.

"Perniagaan seperti ini berkembang kerana terdapat pemintaan daripada orang ramai. Tanggungjawab membanterasnya bukanlah terletak kepada pihak berkuasa semata-masa.

"Sekiranya orang ramai terus memilih ceti haram, isu ini tidak akan pernah selesai," katanya sambil menjelaskan bahawa polis akan terus melancarkan operasi bagi membanteras kegiatan itu.

-- BERNAMA