Skip to main content

Malaysia

Polis lancar Op Tutup buru 10 PATI lari dari depot imigresen Tanah Merah

KOTA BHARU, 21 Julai -- Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan bagi bulan Julai 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan hari ini.  --foto BERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Yusoff berkata, PATI terbabit dipercayai masih memakai pakaian tahanan berwarna hijau terang milik Depot Tahanan Imigresen ketika melarikan diri. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KOTA BHARU: Polis Kelantan melancarkan Op Tutup bagi mengesan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata operasi berkenaan digerakkan sejurus pihak polis menerima maklumat daripada Jabatan Imigresen Kelantan mengenai kejadian tersebut.

Menurut beliau, kesemua individu yang melarikan diri terdiri daripada tujuh warga Thailand, seorang warga Indonesia, seorang warga Bangladesh dan seorang etnik Rohingya.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi tadi. Seramai 10 PATI di bawah tahanan imigresen telah melarikan diri dan kita telah melaksanakan Op Tutup bagi mengesan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program pelupusan dadah di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata, PATI terbabit dipercayai masih memakai pakaian tahanan berwarna hijau terang milik Depot Tahanan Imigresen ketika melarikan diri.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi atau pergerakan mereka diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan dan operasi mengesan tahanan terbabit.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Polis Kelantan akan melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas selepas kes berkaitan selesai dibicarakan di mahkamah bagi tempoh 2008 hingga 2024.

Pelupusan itu melibatkan sebanyak 6,536 jenis dadah, antaranya pil yaba seberat 7.95 kilogram, syabu 4.95 kilogram dan ketum seberat 24.4 kilogram.

Nilai keseluruhan dadah yang akan dilupuskan itu dianggarkan melebihi RM1 juta.

Must Watch Video

Advertisement