KUALA TERENGGANU: Polis sedang menyiasat kes penipuan tempahan rumah inap seperti yang dilaporkan berlaku di negeri ini baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M.Zambri Mahmud berkata, pihaknya setakat ini menerima laporan daripada seorang mangsa yang baru-baru ini telah menerima pesanan ringkas daripada satu nombor telefon yang mengaku sebagai pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang, di sini.

"Pada hari yang sama mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam satu akaun berjumlah RM221.50. Mangsa telah pergi ke 'homestay' (rumah inap) berkenaan dan mendapati ia tidak wujud.

"Mangsa telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan tempahan rumah inap berkenaan supaya segera membuat laporan polis.

Dilaporkan semalam, hasrat beberapa pelancong untuk bercuti ke negeri ini terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap yang ditempah mereka sebenarnya tidak wujud.

Mangsa dilaporkan cuba menghubungi 'pemilik' rumah inap itu namun gagal dan penduduk yang tinggal berdekatan lokasi berkenaan memaklumkan bahawa rumah inap tersebut tidak wujud.

-- BERNAMA