JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan ahli perniagaan yang sedang di diburu, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sehingga hari ini pihaknya masih belum dapat mengesan Nicky Liow kerana dipercayai cuba melarikan diri dengan bantuan anggota agensi penguatkuasa yang dikesan bersekongkol dengannnya.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan Nicky Liow sedang mencuba untuk menyelusup keluar dari negara ini bagi melarikan diri.

Menurutnya, Nicky Liow dipercayai masih berada di dalam negara dan disyaki sedang bersembunyi di sekitar kawasan Lembah Klang.

“Datuk Nicky masih belum lagi dapat dikesan, kita pun telah memasukkan namanya di dalam senarai untuk di semua pintu masuk yang sah dan yang tidak sah untuk memastikan dia tidak mengambil kesempatan untuk menyelusup keluar.

“InsyaAllah dalam masa terdekat ini kita pun dah mohon bantuan Interpol, red notice dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Jenayah | 68 'geng' Datuk Seri Nicky Liow ditangkap - KPN

Terdahulu,  Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis melumpuhkan kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” yang disyaki terlibat dalam jenayah terancang antarabangsa, Macau Scam dan pengubahan wang haram.

Seramai 68 orang ditahan dan ratusan ribu ringgit wang tunai serta aset bernilai jutaan ringgit dirampas dalam 70 serbuan di sekitar Selangor dan Lembah Klang baru-baru ini.