Polis menafikan bahawa empat warga Malaysia yang dibebaskan selepas diculik lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah pada April lepas dibawa ke Bukit Aman untuk diambil keterangan.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

"Tidak ada keperluan untuk bawa mereka (empat warga Malaysia) ke Bukit Aman kerana mereka sekarang berada di Kota Kinabalu, Sabah untuk diambil keterangan berkaitan perkara-perkara berhubung insiden penculikan itu dan melengkapkan siasatan polis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita (The Borneo Post Sabah) yang mendakwa kesemua mereka dibawa ke Bukit Aman pagi tadi untuk diambil keterangan.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka dibebaskan pada awal pagi Rabu lepas dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Empat lelaki rakyat tempatan yang berasal dari Sibu, Sarawak itu ialah Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johny Lau Jung Hien, 21, diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan berkenaan.

Semalam, selepas berjumpa dengan anggota keluarga dan selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di Sandakan, empat mangsa culik yang dibebaskan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf itu, dibawa ke Kota Kinabalu.

Mereka dibawa ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat Polis Diraja Malaysia.