Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan laporan bahawa seorang mangsa insiden letupan bom di Bukit Bintang, Kuala Lumpur melarikan diri.

"Mangsa hilang? Tidak ada...semua 14 mangsa telah dikenal pasti," katanya.

Beliau juga menegaskan hasil siasatan awal polis mendapati kejadian itu tidak melibatkan sebarang unsur-unsur pengganas.

"Ini merupakan satu insiden balas dendam antara dua kumpulan haram, jadi biarlah kita (polis) jalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival 1KDN di Pekarangan Tempat Letak Kereta Stadium Negeri Sarawak.

Khalid berkata polis juga mempunyai maklumat mengenai kumpulan yang disyaki itu, sebelum kejadian letupan berlaku.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketika ditanya sama ada polis akan meningkatkan serta melakukan operasi besar-besar membanteras kumpulan kongsi gelap berikutan kejadian itu, Khalid berkata polis sememangnya sudah membanteras kumpulan haram menerusi Op Cantas Khas.

"Memang ini langkah yang berjalan berterusan. Ops Cantas Khas yang kita jalankan terhadap kumpulan-kumpulan haram, kita akan ambil tindakan berterusan, insyaAllah akan jadi lebih besar," katanya.

Pada Rabu, seorang joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 yang lain cedera termasuk pelancong asing, dalam serangan bom tangan dipercayai melibatkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah kelab malam, Sun Complex, Bukit Bintang.

Sementara itu, Khalid berkata peruntukan sebanyak RM9.1 bilion dalam Bajet 2015 kepada polis akan membantu meningkatkan kecekapan anggotanya dalam melaksanakan tugasan.

"Kita yakin dengan tambahan lebih 11,000 anggota dan 1,000 buah motosikal untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal akan dapat tingkatkan lagi kecekapan kita dalam menguruskan masalah jenayah.

"Penambahan keanggotaan juga akan dapat menampung kekurangan di beberapa balai polis," katanya.