Polis Pulau Pinang hari ini menerima tujuh basikal elektrik atau E-Basikal bagi melaksanakan penugasan rondaan di kawasan tumpuan orang ramai terutama pelancong asing dan pusat membeli-belah di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata objektif utama penggunaan basikal elektrik itu ketika rondaan dapat mewujudkan kehadiran polis di tempat awam dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

"Hari ini Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menerima sebanyak tujuh buah basikal yang menggunakan kuasa bateri hasil sumbangan daripada tiga syarikat swasta di negeri ini.

"Tiga basikal akan digunakan oleh Unit Polis Pelancong IPK Pulau Pinang manakala dua buah lagi ditempatkan masing-masing di Balai Polis Batu Feringghi di daerah Timur Laut dan Queensbay di daerah Barat Daya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Basikal Elektrik oleh tiga syarikat kepada IPK Pulau Pinang, di sini hari ini.

Basikal elektrik buatan China itu berharga RM3,680 setiap satu dan boleh dicas semula menggunakan kuasa elektrik.

Chuah berkata penggunaan basikal elektrik itu juga dapat memudahkan anggota polis berinteraksi dengan orang awam dan pelancong ketika membuat rondaan dan melaksanakan konsep ‘Stop Talk'.

Katanya IPK Pulau Pinang menjadi negeri pertama menggunakan basikal elektrik itu untuk menjalankan rondaan di kawasan tumpuan orang ramai dan pusat membeli-belah di negeri berkenaan.

"Selain itu, IPK Pulau Pinang juga akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai kesesuaian dan respons masyarakat tentang penggunaan basikal elektrik berkenaan dan jika ia memberi kesan positif kami akan usulkan kepada Bukit Aman untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakannya di seluruh Malaysia," katanya.

Beliau berkata penggunaan basikal elektrik itu dapat membudayakan gaya hidup sihat kerana ia juga boleh dikendalikan dengan cara kayuhan dan jarak perjalanannya jika menggunakan kuasa elektrik boleh mencapai sehingga 50 kilometer (km) dengan kelajuan 25km sejam.

"IPK Pulau Pinang merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada syarikat-syarikat yang berbesar hati menyumbang basikal elektrik ini dan berharap ia dapat ditambah lagi pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA