BENTONG: Polis Pahang berjaya merampas 841.06 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih kurang RM30.8 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Anggerik, Bentong pada 20 Ogos lalu.

Ia susulan penahanan tiga lelaki warga emas berusia 61, 62 dan 63 tahun, yang dipercayai dari satu sindiket pengedaran dadah syabu untuk pasaran antarabangsa dan pasaran tempatan.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, pihak polis turut menemui sepucuk pistol jenis 'Glock' yang disembunyikan di dalam kereta suspek.

Polis juga menemui satu laras senjata api tiruan bersama empat kelopak peluru, 50 butir peluru hidup, 17 butir peluru 12 bore, dan dua batang besi barrel yang disimpan di sebuah rumah yang dijadikan stor.

“Hasil serbuan yang dilancarkan, PDRM telah berjaya merampas sejumlah 841.06 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM 30.8 juta iaitu pada harga RM36,000 sekilogram.

"Jumlah keseluruhan dadah dirampas ini boleh digunakan oleh seramai lebih 4 juta orang penagih dadah," kata Ramli.

Ketiga-tiga suspek adalah negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan reman selama tujuh hari bermula 21 Ogos sehingga 27 Ogos ini.

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan ialah sebuah kereta jenis Nissan Sunny, wang tunai berjumlah RM1,564 dan wang di dalam akaun bank sebanyak RM6,623.65.

Menurut Ramli, sindiket telah bergiat sejak awal tahun ini dan dipercayai melakukan penyeludupan dan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier ke negara serantau selain melakukan pengedaran pasaran tempatan.