GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membuka sebanyak 171 kertas siasatan tatatertib membabitkan 314 pegawai dan anggota serta kakitangan awam di kontinjen negeri itu sepanjang tahun lepas iaitu meningkat 35.71 peratus berbanding 2020.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semua kertas siasatan itu melibatkan 43 pegawai, 269 anggota dan dua kakitangan awam membabitkan pelbagai kesalahan.

"Sepanjang tahun lepas kami buka sebanyak 171 kertas siasatan iaitu kes tatatertib sebanyak 107, jenayah (33), dadah (17), tidak hadir tugas atau pembolosan (lapan), kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (empat) dan dua lagi membabitkan kes syariah.

"Daripada 314 orang itu, 28 orang masih dalam siasatan untuk diambil tindakan antaranya gantung, tahan dan dibuang kerja. Setelah Lembaga Tatatertib bersidang dan membuat keputusan serta hukuman dijatuhkan, barulah mereka ini akan berada dalam statistik hukuman," katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Kontijen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Katanya, kesalahan membabitkan pegawai dan anggota polis menunjukkan peningkatan 45 kes pada 2020 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 126 kertas siasatan direkodkan dan pihaknya tidak berkompromi dengan mereka terlibat dengan salah laku serta tindakan tatatertib akan diambil demi menjaga nama baik Polis Diraja Malaysia(PDRM).

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, kadar jenayah di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 27.3 peratus iaitu 3,381 kes sepanjang 2021 berbanding nilai ambang iaitu 5,269 kes bagi tempoh sama.

Katanya, berdasarkan kajian dan siasatan dijalankan mendapati kes jenayah menurun pada tahun lepas berikutan beberapa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan kerajaan dan kehadiran pihak polis di kawasan tumpuan menyebabkan penjenayah tidak berani melakukan jenayah.

"Nilai ambang dijadikan kayu pengukur digunakan oleh Interpol dalam kajian jenayah di seluruh dunia. Dalam konteks jenayah harta benda adalah 2,900 kes sahaja, yang mana nilai ambang jenayah harta benda berjumlah 4,263 kes, menunjukkan penurunan 1,303 kes iaitu sebanyak 31 peratus," katanya.

Beliau berkata bagi kes jenayah kekerasan ialah 931 kes dan ia juga menurun sebanyak 12.7 peratus berbanding nilai ambang iaitu 1,666 kes.

"Kalau ambil kedua-dua jenis jenayah ini, kita dapat lihat jenayah kekerasan turun tapi tidak mendadak seperti mana jenayah harta benda. Ini kemungkinan besar disebabkan pergerakan masyarakat yang dihadkan dengan pelan pemulihan negara tempoh hari justeru jenayah harta benda berlaku disebabkan ruang dan peluang, apabila masyakarat tidak bergerak maka risiko itu dapat dikurangkan.

"Daripada 70 peratus jenayah yang direkodkan sepanjang tahun lepas itu melibatkan penjenayah yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.

-- BERNAMA