MALAYSIA
Polis rampas 19.25 kg ganja bernilai lebih RM100,000

Polis merampas ganja seberat 19.25 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM108,500 yang disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran di kawasan semak sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar pada 10.30 pagi semalam. - Foto IPD Padang Besar
KANGAR: Polis merampas ganja seberat 19.25 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM108,500 yang disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran di kawasan semak sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar pada 10.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata rampasan itu hasil risikan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar berdasarkan maklumat pengedaran dadah di kawasan sempadan itu.
"Polis telah mengesan satu bungkusan plastik hitam yang mencurigakan di dalam semak berhampiran tiang elektrik. Hasil intipan selama 48 jam di kawasan tersebut mendapati tiada individu atau kumpulan hadir mengambil bungkusan berkenaan.
"Polis membuat pemeriksaan ke atas bungkusan tersebut dan mendapati mengandungi satu bungkusan plastik berwarna hitam di dalamnya mengandungi 35 peket plastik lut sinar berisi bunga kering disyaki dadah jenis ganja," katanya dalam kenyataan hari ini.Mohd Shokri berkata jumlah dadah itu boleh digunakan oleh lebih 19,000 penagih dan dipercayai untuk diedarkan di utara Semenanjung.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami