Polis rampas 259 mesin perlombongan bitcoin bernilai RM958,000

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang media mengenai rampasan kes bitcoin di Balai Polis Simpang Empat, hari ini. - Foto Bernama
KANGAR: Polis merampas 259 unit mesin perlombongan bitcoin berserta pelbagai peralatan sokongan keseluruhan dianggarkan bernilai RM958,000 dalam serbuan berasingan di tujuh premis sekitar bandar Kangar dan Kuala Perlis pada 31 Dis lepas.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata menerusi serbuan itu mendapati Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian dianggarkan RM15.55 juta susulan kegiatan perlombongan bitcoin yang dipercayai menggunakan sambungan elektrik secara haram.
"Serbuan dijalankan antara 9 pagi hingga 5.40 petang hasil maklumat awam berhubung gangguan bekalan elektrik akibat penggunaan tenaga secara berlebihan menerusi Op Cantas Elektrik.
"Hasil pemeriksaan mendapati semua premis terbabit melakukan penyambungan elektrik tidak sah tanpa meter bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin yang dipercayai telah beroperasi antara tiga bulan hingga setahun sekali gus menjejaskan hasil dan operasi TNB," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Muhammad berkata operasi itu melibatkan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bersama Pasukan Petugas IPD Kangar, Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis serta dibantu juruteknik TNB Perlis, Team SEAL TNB Pulau Pinang dan Unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun dalam serbuan itu yang direman pada 1 Jan dan 2 Jan lepas sebelum dilepaskan dengan jaminan polis manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Muhammad menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kecurian elektrik atau mengesyaki aktiviti penyambungan tidak sah menyalurkan maklumat itu kepada IPK Perlis di talian 04-9872222 atau di balai polis berhampiran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


