Skip to main content

Malaysia

Polis rampas dadah lebih RM180 juta di Lembah Klang, mampu 'rosakkan' lebih 17 juta orang

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM
Hussein Omar Khan, berkata dalam kedua-dua operasi itu, polis turut menahan lima lelaki berusia antara 27 hingga 44 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah. - Gambar FB PDRM

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis dadah, bahan kimia serta peralatan memproses dadah bernilai keseluruhan lebih RM180 juta dalam dua serbuan berasingan di ibu negara dan Selangor, awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dalam kedua-dua operasi itu, polis turut menahan lima lelaki berusia antara 27 hingga 44 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Advertisement

Beliau berkata, serbuan pertama yang dijalankan di Jalan Klang Lama di sini pada 2 Mac lalu disifatkan sebagai antara kes rampasan dadah terbesar setakat tahun ini, membabitkan lebih tiga tan methamphetamine bernilai kira-kira RM170 juta. 

Katanya, bekalan itu jika terlepas ke pasaran gelap boleh merosakkan 17 juta orang. 

Menurutnya, serbuan dilakukan di sebuah rumah teres di sekitar Taman Gembira, ibu negara ketika dua suspek sedang memindahkan guni putih dari dalam rumah ke sebuah lori berwarna putih.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori dan rumah berkenaan menemukan 128 guni yang mengandungi 3,205 bungkusan methamphetamine dengan anggaran berat 3,227 kilogram serta empat paket pil ekstasi seberat 1.4kg

"Susulan tangkapan itu, polis menjalankan pemeriksaan lanjut di sebuah lagi rumah teres di kawasan Overseas Union Garden di Jalan Klang Lama," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini pada Isnin.

Hussein berkata, pemeriksaan di lokasi kedua membawa kepada penemuan tiga guni putih serta satu beg kuning mengandungi 79 bungkusan methamphetamine seberat 81.4kg.

"Jumlah keseluruhan methamphetamine yang dirampas ialah 3,402.18kg dengan nilai dianggarkan RM170 juta," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai pengangkut dadah, manakala suspek kedua dipercayai ahli sindiket yang aktif sejak Disember tahun lalu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya bekalan dadah itu datang dari kawasan Segi Tiga Emas dan berkemungkinan akan dihantar ke Sabah atau negara berhampiran seperti Indonesia dan Filipina.

Sementara itu, dalam operasi kedua di Taman Sri Rampai, Setapak, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 38 tahun.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori menemukan 10 kotak mengandungi bunga ganja seberat 124.7 kg dengan nilai dianggarkan RM10.2 juta,” katanya.

Beliau berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Must Watch Video