TELUK INTAN: Polis menahan 13 individu disyaki terlibat dalam sindiket memproses pembukaan akaun Alipay bagi tujuan menerima dan memindahkan wang hasil penipuan perjudian dalam talian menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Teluk Intan, 28 Sept lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata tangkapan membabitkan lima warga tempatan, iaitu empat lelaki dan seorang wanita serta lapan lelaki warga Myanmar berumur 20 hingga 44 tahun yang bertindak sebagai ketua sindiket dan ejen memproses akaun.
Beliau berkata polis turut merampas 65 unit telefon bimbit, sebuah komputer riba, lapan keping pasport Malaysia, 71 keping kad sim dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bernilai RM190,000 dalam operasi berkenaan.
“Siasatan mendapati sindiket ini bertindak sebagai ejen payment gateway bagi memindahkan wang penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan warganegara China.
“Modus operandi membabitkan penggunaan telefon bimbit yang dirampas untuk imbasan muka, serta menawarkan RM500 kepada individu tempatan yang sanggup membuka akaun Alipay dengan menyerahkan butiran pasport Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.
Mohd Alwi berkata sindiket yang beroperasi sejak pertengahan Julai lepas itu juga dipercayai meraih komisen dua peratus bagi setiap transaksi dengan anggaran keuntungan kira-kira RM2,000 sehari.
“Hingga kini, sindiket dipercayai telah berjaya membuka 60 akaun Alipay menggunakan butiran diri penduduk setempat,” katanya sambil menambah bahawa kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 424A dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan.
Beliau berkata kesemua suspek direman bermula 29 Sept lepas hingga hari ini, namun polis akan memohon sambungan reman bagi melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, Mohd Alwi menasihati orang ramai agar tidak menyewakan premis, membekalkan peralatan komunikasi atau menyerahkan maklumat peribadi dan akaun bank kepada sindiket penipuan, khususnya secara dalam talian.
-- BERNAMA