MALAYSIA
Polis rampas rokok, minuman keras tidak berkastam lebih RM10 juta di Kuching

Azmi berkata operasi bersepadu itu melibatkan dua serbuan serentak di stor dan premis penyimpanan kontraban berkenaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas barangan bernilai lebih RM10 juta dalam operasi bersepadu membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras tanpa kastam di sekitar Kuching, Sarawak, semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata operasi bersepadu itu melibatkan dua serbuan serentak di stor dan premis penyimpanan kontraban berkenaan.
"Operasi menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 30 hingga 64 tahun dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM10,500,028," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azmi berkata operasi Op Taring Alpha 1 dan Op Taring Alpha 2 itu dilaksanakan JKDNKA menerusi risikan utama Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak.Sebuan di lokasi pertama merampas 648 liter minuman keras, 90,000 batang rokok putih pelbagai jenama, 51,200 batang rokok kretek serta sebuah telefon bimbit.
Rampasan serbuan kedua melibatkan 4.19 juta batang rokok putih pelbagai jenama, 24,320 batang rokok kretek dan masing-masing sebuah van serta telefon bimbit.
Siasatan dua kes itu dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Azmi berkata dari 1 Jan hingga 2 Julai, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 155 serbuan di seluruh negara melibatkan 236 tangkapan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyeludupan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM443.85 juta.
Beliau berkata polis menggalakkan kerjasama orang awam menyalurkan maklumat bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan penjualan barangan tidak berkastam dapat dibanteras sepenuhnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami